Warga emas masih belum ditemui, operasi SAR disambung pagi esok

Facebook
WhatsApp
CHALI Mat. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun yang hilang selepas keluar ke kebun sawit di Sungai Tapang, Jalan Bayong, masih belum menemui sebarang petunjuk pada hari pertama pencarian, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, operasi melibatkan kawasan kebun di belakang rumah mangsa dan hutan berdekatan dalam lingkungan satu hingga empat kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB).

Chali Mat, 78, yang beralamat di Rumah Robert, Sungai Merudu, dilaporkan kali terakhir dilihat kira-kira 8.00 pagi semalam ketika keluar menuju ke kebun di belakang rumahnya.

OPERASI SAR di kawasan kebun belakang rumah mangsa dan hutan berdekatan. Foto BBP Sarikei

“Setibanya di lokasi, pasukan menerima maklumat daripada anak mangsa menyatakan mangsa yang hilang telah keluar ke kebun sawit pada semalam lebih kurang 8.00 pagi dan didapati tidak kembali sehingga laporan dibuat.

“Pasukan bomba memulakan operasi mencari mangsa yang hilang bersama pihak polis dan orang kampung dibahagikan dalam tiga kumpulan bergerak ke kawasan kebun belakang rumah mangsa dan hutan berdekatan dalam radius satu hingga empat kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB), di mana setiap kumpulan bergerak ke sektor pencarian yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, enam anggota BBP Sarikei termasuk komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Tamizi Abdul Karim terlibat dalam operasi tersebut.

“Pihak kami menerima maklumat kejadian pada 10.45 pagi tadi sebelum operasi dimulakan pada 11.08 pagi.

“Namun mangsa masih belum dijumpai. Operasi ditangguhkan pada 5.00 petang dan disambung keesokan hari pada 8.00 pagi,” katanya.

OPERASI SAR warga emas yang hilang di Sungai Tapang, Jalan Bayong, Sarikei, diteruskan selepas mangsa masih belum ditemui pada hari pertama pencarian.

Katanya berdasarkan maklumat keluarga, warga emas tersebut mempunyai masalah nyanyuk, rabun dan menggunakan cermin mata serta mengalami masalah pendengaran.

“Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai baju lengan panjang berwarna kelabu, manakala warna seluar yang dipakainya tidak dapat dipastikan,” katanya lagi.

Operasi hari pertama turut disertai lima anggota dan seorang pegawai polis dari Balai Polis Jakar diketuai Inspektor Shazwan Mohd Yusof, selain 22 penduduk kampung dan enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok Lemba.

Oleh Earl Anek