
KOTA SAMARAHAN: Polis sedang memburu tiga lelaki bertopeng yang dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjata di sebuah rumah di Kampung Semera Ulu Sadong Jaya, Asajaya, pada malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Barry William berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam ketika seorang pekebun berusia 70 tahun sedang bersendirian di rumah kayunya sambil menonton televisyen.
Menurutnya, tiga lelaki tidak dikenali yang menutup muka dipercayai menendang pintu belakang rumah sebelum menyerbu masuk. Dua suspek bersenjatakan parang panjang manakala seorang lagi membawa sebatang besi.
“Suspek kemudian menyelongkar bilik tidur mangsa dan melarikan wang tunai, telefon bimbit, dokumen peribadi, beberapa bilah parang, sebuah enjin rumput serta jala ikan sebelum melarikan diri,” katanya hari ini.
Mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM3,650.
Barry berkata mangsa turut diikat semasa kejadian dan mengalami sedikit kesan melecet pada pergelangan tangan ketika cuba melepaskan diri daripada ikatan tersebut.
Berdasarkan keterangan mangsa, salah seorang suspek didengari bercakap dalam Bahasa Melayu, menyebabkan polis percaya individu terbabit berkemungkinan warga tempatan.
Hasil siasatan mendapati suspek berada di dalam rumah kira kira 15 minit sebelum melarikan diri. Polis percaya mereka menggunakan kenderaan untuk meloloskan diri dari lokasi kejadian.
Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak telah merampas beberapa bahan bukti termasuk pakaian, senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian, tali getah, sampel swab dan kesan cap jari yang ditemui di rumah mangsa.
Unit K9 turut menemui sehelai baju T berwarna biru putih yang dipercayai milik suspek berhampiran titi kayu di hadapan rumah mangsa. Anjing pengesan kemudian menjejaki laluan sehingga ke Jalan Asajaya Sadong Jaya Simunjan sebelum kehilangan petunjuk, dipercayai suspek telah menaiki kenderaan untuk melarikan diri.
Barry berkata rumah mangsa yang terletak di kawasan pedalaman dan dikelilingi kebun serta belukar itu tidak mempunyai kamera litar tertutup dan tiada saksi bebas.
Mangsa hanya membuat laporan polis pada keesokan pagi kerana tidak mempunyai kenderaan atau telefon bimbit untuk menghubungi polis serta terpaksa menunggu waktu siang bagi mendapatkan bantuan penduduk kampung.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan samun menggunakan senjata.
Usaha mengesan dan mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.