SARIKEI: Seorang lelaki warga emas berumur lingkungan 71 tahun dari Rumah Nugu, Kerubong, Jalan Selalang dikhuatiri hilang selepas ke kebun lebih kurang 8.00 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, namun pada 4.00 petang, lelaki warga emas tersebut dilaporkan tidak balik ke rumah.
“Risau dengan keselamatan bapa saudaranya, anak saudara mangsa telah pergi ke kebun untuk mencari mangsa namun gagal dijumpai.
“Dia terus membuat panggilan kecemasan melalui Mers999 ke PGO Bomba Sarawak pada 7.05 malam.
“Anak saudara mangsa maklum berkemungkinan bapa saudaranya telah hilang dan dikhuatiri lemas di sebuah anak sungai berhampiran kebun,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Beliau berkata setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei di lokasi pada 7.36 malam, komander operasi memaklumkan tiada tindakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan memandangkan keadaan cuaca gelap, hujan dan kawasan persekitaran kebun licin.
“PKO menasihatkan anak saudara mangsa agar membuat laporan berkaitan kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berdekatan.
“Operasi ditangguhkan pada 8.10 malam dan akan disambung pada hari esok,” katanya.
Oleh Earl Anek