
BINTULU: Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah panjangnya di kawasan Lovo Punan Asel Sungai Segang, Jelalong Tubau di sini pada Isnin lalu dan belum ditemui sehingga kini.
Mangsa dilaporkan keluar dari rumah sekitar 8.00 pagi pada 18 Ogos tanpa diketahui tujuannya sebelum ahli keluarga membuat laporan polis.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sekitar 6.59 pagi hari ini bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Sehubungan itu, pasukan SAR bergerak ke Balai Polis Tubau untuk mendapatkan maklumat awal sebelum menuju ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di Balai Polis Tubau, taklimat dijalankan dan seterusnya bergerak ke lokasi kejadian pada 8.45 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada 11.30 pagi setelah pasukan mendapati laluan ke lokasi berbukit dan tidak rata, memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk meneruskan perjalanan.
“Pasukan bomba memutuskan untuk kembali semula ke Balai Polis Tubau dan operasi SAR akan disambung esok dengan kenderaan pacuan empat roda bagi melancarkan perjalanan serta usaha pencarian,” katanya.
Operasi hari pertama membabitkan tiga anggota bomba bersama sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), selain dibantu lima anggota polis dari Balai Polis Tubau.
Mangsa masih belum ditemui setakat ini.
Oleh Carolyne Utih