
LUNDU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang semalam selepas keluar menjala ikan di Sungai Batang Kayan, di sini, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua operasi, hari ini.
Mangsa, Awang Bosman Awang Jibi, 74 tahun, dilaporkan hilang semalam, selepas bot miliknya ditemui berpusing dan melanggar tebing sungai berhampiran Kampung Sileng.
Kejadian tersebut disedari oleh penduduk yang melalui kawasan berkenaan sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 11:20 pagi dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu segera digerakkan ke lokasi sejauh enam kilometer.
Jentera tiba pada 11:27 pagi dan operasi dikawal sepenuhnya pada 11:37 pagi.
Menurut Komander Operasi, PBT I Joseph Diea, pencarian awal dijalankan sekitar kawasan bot mangsa, namun tiada petunjuk ditemui pada hari pertama.
Operasi SAR disambung pada hari kedua dengan pencarian radius sejauh dua kilometer menyusuri hulu dan hilir sungai.
Pada 12.30 tengah hari, mangsa berjaya ditemui dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi bot ditemui.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 1.10 petang.
Operasi SAR melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (Hilux) dan sebuah bot digunakan sebagai aset logistik.
Turut berada di lokasi kejadian ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung setempat.
Oleh Norman B.