SKRANG: Seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan hutan dalam kejadian di Rumah Sawing, Merutih, Ulu Skrang sejak Selasa lalu, telah ditemui dalam keadaan selamat hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata mangsa yang dikenali sebagai Gelau Rayang ditemui oleh penduduk kampung sekitar jam 8.30 pagi ditepi jalan kebun sawit.
“Pada jam 8.30 pagi tadi, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan mangsa telah dijumpai dalam keadaan lemah ditepi jalan kebun sawit lebih kurang empat jam dari rumah mangsa jika berjalan kaki.
“Anggota SAR telah mengeluarkan mangsa dari kawasan kebun sawit dan bergerak ke Rumah Lampas Titok Atas, Engkilili bagi menyerahkan mangsa kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk dihantar ke Hospital Betong,” katanya.
Dalam pada itu, operasi SAR yang telah diaktifkan pada jam 7.30 pagi tadi telah ditamatkan sekitar jam 12.05 tengah
Terdahulu, PGO Bomba Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah menerima panggilan insiden orang hilang di hutan dari Balai Polis Skrang sekitar jam 9.57 malam tadi.
Pada 26 November (Selasa) lalu, sekitar 9 pagi, mangsa telah keluar rumah tanpa memberitahu sesiapa. Namun sehingga laporan polis dibuat pada keesokan harinya, 27 November (Rabu) sekitar jam 8.11 malam mendapati mangsa masih tidak balik ke rumah.
Ahli keluarga mangsa bersama penduduk kampung telah melakukan pencarian awal namun mangsa masih belum ditemui.
Oleh ADI SAFARMAN