
SERIAN: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun di Kampung Mayang Kawan, Jalan Mongkos, ditemui selamat pagi tadi.
Mangsa, Maria Jawas Jamas, 77, dilaporkan keluar dari rumahnya sekitar 12.15 tengah hari semalam untuk ke kebun dengan memakai baju pendek serta membawa beberapa helai pakaian tanpa membawa makanan dan ubat-ubatan.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Nasihin Jaum berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.00 pagi tadi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada 9.37 pagi, pihak polis memaklumkan bahawa mangsa telah ditemui oleh penduduk kampung di kawasan kebun sekitar lima kilometer dari kampung pada 9.15 pagi dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Pihak bomba hanya mengambil maklumat mangsa dan tiada operasi pencarian dijalankan. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh Adele Rissa