ASAJAYA: Seorang warga emas lelaki yang dilaporkan hilang selepas memasuki kawasan hutan di Kampung Ketup Subi, Sambir, dekat sini semalam, ditemukan selamat apabila pulang sendiri ke kediamannya sebelum operasi mencari dijalankan sepenuhnya.
Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya, pihaknya menerima panggilan terus ke balai daripada seorang individu dikenali sebagai Chin yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa yang dipercayai memasuki hutan pada pagi semalam.
Pemanggil memaklumkan mangsa kali terakhir dilihat memakai baju berwarna merah tua, seluar hitam serta membawa sebuah bakul tambok dan sebilah parang sebelum memasuki kawasan hutan.
Berikutan mangsa tidak pulang ke rumah sehingga petang, kebimbangan terhadap keselamatannya mendorong pemanggil mendapatkan bantuan daripada pihak bomba untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Pasukan BBP Asajaya yang diketuai PBK I Andrew Mangga bersama dua anggota lain kemudian digerakkan ke lokasi bagi mendapatkan maklumat awal berhubung kejadian.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi dimaklumkan bahawa mangsa telah pulang sendiri ke kediamannya di Kampung Subi, Sambir, Asajaya.
Pemeriksaan mendapati warga emas itu berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Susulan itu, pihak bomba mengesahkan tiada lagi tindakan lanjut diperlukan kerana keadaan telah kembali selamat.
Operasi khidmat khas mencari orang hilang itu kemudiannya ditamatkan dan bomba turut mengingatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada ahli keluarga atau penduduk setempat sekiranya ingin memasuki kawasan hutan, terutama bagi warga emas, bagi memudahkan tindakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Oleh Adi Safarman





