
SERIAN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Sungai Kedup, Siniawan di sini, pagi tadi, berjaya ditemui selamat oleh penduduk kampung.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 10.59 pagi.
“Mangsa yang berusia 72 tahun, dilaporkan hilang di kawasan hutan berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
“Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Rosnani Malong bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan,” katanya dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung sekitar 11.52 pagi.
“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas ditemui.
“Operasi kemudian ditamatkan selepas mangsa berjaya dijumpai,” ujarnya.