DALAT: Seorang lelaki warga emas yang terlibat dalam tragedi bot berlanggar di Sungai Batang Oya berhampiran kawasan ini masih belum ditemui sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat, memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua akan diteruskan esok kerana tiada sebarang petunjuk ditemui hari ini.
“Pencarian hari ini lebih tertumpu kepada teknik pencarian atas permukaan air dan kaedah tradisional seperti menunda duri onak rotan.
“Kami tidak menggunakan kaedah selaman skuba dalam operasi SAR hari ini yang sebelum ini dirancang sebagai teknik utama kerana keadaan cuaca buruk menyukarkan pelaksanaannya.
“Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus semakin deras,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin sekitar jam 7.20 pagi, seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah lagi bot perahu panjang di antara Kampung Sua dan Kampung Klid.
Mangsa yang mengemudi perahu panjang seorang diri, sedang dalam perjalanan dari Kampung Klid menuju ke Kampung Sua, manakala bot perahu panjang yang satu lagi dikemudikan oleh seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) San San dari arah bertentangan.
Setibanya di satu selekoh di Batang Oya, kedua-dua bot perahu panjang tersebut tidak sempat mengelak antara satu sama lain lalu bertembung.
Mangsa dipercayai jatuh ke dalam Sungai Batang Oya dan hilang, dikhuatiri lemas.
Oleh TARANI LANTING
Gambar
Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat, manakala satu lagi gambar orang kampung turut membantu mencari mangsa