
BINTANGOR: Seorang lelaki warga emas lingkungan usia 60-an ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Meradong selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan menggunakan modus operandi pemalsuan identiti.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan dilakukan sekitar 9.19 malam tadi, hasil risikan dan tindakan pantas pasukan Task Force IPD Meradong.
Katanya, modus operandi suspek adalah menyamar sebagai pihak Touch N Go dan seterusnya menyambungkan mangsa kepada individu lain yang kononnya merupakan pihak polis bagi menakutkan mangsa.
“Mangsa telah diperdaya dengan cara suspek menyamar sebagai pihak Touch N Go dan disambungkan kepada pihak polis kononnya mangsa telah terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram sehingga menakutkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, akibat panik, mangsa akur dengan arahan suspek dan menjual emas miliknya sebelum melakukan dua transaksi ke akaun yang diberikan oleh suspek.
“Oleh kerana berasa takut, mangsa telah mengikut arahan dan menjual emas miliknya serta melakukan dua kali transaksi di salah sebuah bank di sini ke akaun yang diberi oleh suspek.
“Mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM8,700. Semakan rekod lampau, dapati suspek tiada rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan pemenjaraan tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, sebatan dan denda,” katanya.
Tegas Tansli, pihaknya sangat memandang serius sebarang kes penipuan dan tidak berkompromi dengan sebarang kes penipuan.
“Orang ramai yang menerima sebarang panggilan seperti ini adalah dinasihatkan agar merujuk kepada pihak polis terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi kepada pihak ketiga.
“Mangsa juga boleh menghubungi talian hotline NSRC di talian 997 untuk melaporkan berkaitan penipuan secara atas talian ini atau hubungi Balai polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek