
MUKAH: Seorang warga emas terpaksa dipindahkan ke lokasi lebih selamat selepas kediamannya dinaiki air susulan kejadian banjir di Skim Penempatan Semula Kampung Kuala Lama, di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.17 tengah malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah digerakkan ke lokasi.
“Semasa menjalankan pemantauan di kawasan terjejas banjir, pihak bomba telah memindahkan seorang mangsa warga emas dari rumahnya di Jalan Melor, Skim Penempatan Semula Kuala Lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya dipindahkan ke rumah saudara-mara di Taman Episo bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin.
Katanya lagi, operasi pemindahan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini, dan pihak bomba akan terus memantau situasi banjir di kawasan berisiko dari semasa ke semasa.
Oleh Tarani Lanting