
SIBU: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada mahkamah bagi tujuan prosiding kehakiman.
Ngang Hock Kung, 66, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Onn Kork Chern.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin, sementara menunggu tarikh pengurusan kes yang ditetapkan pada 26 Jun tahun ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ngang, didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu, iaitu afidavit bantahan bertarikh 10 Julai 2024, pelan ukur (Survey Plan), dan surat penamatan perkhidmatan bertarikh 24 Oktober 2023.
Dokumen tersebut didakwa dihantar melalui Sistem E-Kehakiman Sabah dan Sarawak bagi tujuan prosiding di Mahkamah Sesyen Sibu pada 7 Februari 2025, kira-kira 4.35 petang.
Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan membuat bukti palsu, mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 193 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Siti Mariyah Dahari.
Oleh Akun Giman