
MIRI: Seorang lelaki warga emas di sini mengalami kerugian sebanyak RM500,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata melalui satu kenyataan media hari ini telah mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
Katanya, mangsa yang berusia lingkungan 60 an merupakan seorang pesara syarikat swasta di sini.
“Pada pertengahan Mei 2025, mangsa telah melayari Facebook dan tertarik dengan satu iklan pelaburan yang ditawarkan oleh seorang wanita tidak dikenali yang berperanan sebagai penyelia kumpulan WhatsApp ‘Aleesya Stock Trading’.
“Mangsa telah tertarik tawaran itu bertindak menekan pautan yang disediakan di laman Facebook dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp berkenaan.
“Akibat terperdaya dengan keuntungan ditawarkan, mangsa telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan suspek melibatkan jumlah lebih kurang RM500,000,” katanya.
Tambahnya, mangsa hanya menyedari diri telah ditipu apabila suspek masih memintanya untuk membuat beberapa pembayaran lain sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan pelaburan.
“Sehingga laporan polis dibuat, mangsa hanya mendapat keuntungan berjumlah RM65,000.
“Orang ramai dinasihatkan agar jangan mudah percaya dengan pelaburan-pelaburan yang ditawarkan di media sosial dan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan,” tegasnya lagi.
Selain itu, turut disarankan agar membuat semakan syarikat dan laman sesawang yang tidak dibenarkan atau kelulusan di www.bnm.gov.my /BNM Telelink 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my atau 03-62048999 (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Oleh Adum Liu