

MIRI: Seorang warga emas mengalami lecur ringan selepas rumah yang didiaminya bersama isterinya musnah dalam satu kebakaran di Lorong Riam Jaya 1B, Kampung Riam Jaya, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.58 pagi itu, mangsa lelaki berusia 70 tahun difahamkan terkena bahang api ketika cuba menyelamatkan diri sebelum dihantar ke hospital berdekatan oleh anaknya untuk mendapatkan rawatan lanjut. Isterinya berusia 66 tahun pula dilaporkan selamat.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat struktur kekal yang terbakar sepenuhnya.
“Api turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal, manakala tiga kenderaan lain serta sebuah bot berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.
Operasi pemadaman melibatkan Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Miri dengan bantuan BBP Lopeng berjaya mengawal kebakaran pada 4.33 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya sekitar 5.58 pagi.
Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling