
KUCHING: Aktiviti pendakian di Gunung Api, Taman Negara Mulu bertukar cemas apabila seorang lelaki warga emas cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 500 meter, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.45 tengah hari tadi.
Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Elisa Paul @ Lisa Paul, 75, dan berbangsa Kelabit dipercayai terjatuh semasa melakukan pendakian bersama sekumpulan pelancong di kawasan Kem 5 taman negara itu.
“Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOCSAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi yang diketuai Pegawai Bomba Bantuan Kenneth Nilong digerakkan ke lokasi dan tiba pada 12.48 tengah hari.
“Pasukan penyelamat memberikan rawatan awal bagi menghentikan pendarahan di bahagian kepala mangsa. Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan serius di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, bantuan pengangkutan udara dimohon bagi membawa mangsa keluar dari kawasan tersebut dan seterusnya mendapatkan rawatan di hospital.
“Mangsa diterbangkan ke Hospital Miri menggunakan helikopter Syarikat Layang-Layang Aerospace Miri Sdn. Bhd. bersama pasukan perubatan dari Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” katanya sambil menambah operasi itu melibatkan lima anggota MOCSAR.
Gunung Api yang terletak dalam Taman Negara Mulu, Miri berketinggian lebih 1,750 meter dan terkenal dengan formasi batu kapur unik dikenali sebagai Mulu Pinnacles, menjadikan ia antara laluan pendakian paling mencabar di Sarawak.
-Bernama