
BINTULU: Seorang lelaki warga emas cedera dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kilometer 20 Jambatan Sungai Seberang, Jalan Bintulu–Bakun, di sini, semalam.
Mangsa, Tait Mang, 62 tahun, mengalami kecederaan pada bahagian lengan dan tidak dapat keluar sendiri daripada kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 11.55 pagi.
Susulan itu, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) segera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 51 kilometer dari balai.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak tersepit, namun mengalami kecederaan pada lengan dan tidak mampu keluar sendiri dari kenderaan,” kata jurucakap tersebut dalam satu kenyataan.
Anggota bomba melakukan penstabilan pada bahagian leher mangsa menggunakan ‘C-collar’ sebelum mengeluarkannya menggunakan ‘scoop stretcher’.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Oleh Carolyne Utih