KUCHING: Warga Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diingatkan untuk sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan dalam melakukan pelbagai tugas harian.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata persekitaran kerja yang selamat dan sihat memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan fizikal dan mental kakitangan DBKU.
”Seiring dengan perkembangan pesat dan pelaksanaan pelbagai projek di DBKU, kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap kakitangan bekerja dalam persekitaran yang selamat, sihat dan mampu menyokong kesejahteraan fizikal dan mental.
”Setiap daripada kita perlu sentiasa berwaspada dan peka terhadap sebarang bahaya atau risiko yang mungkin timbul di tempat kerja.
”Saya menggalakkan setiap jabatan untuk sentiasa memantau dan memastikan persekitaran kerja sentiasa dalam keadaan yang selamat dan bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sambutan Hari Integriti dan Inovasi serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (HIIS) di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya pihak pengurusan tertinggi dan ketua bahagian perlu memastikan kesejahteraan serta keselamatan kakitangan sentiasa diberi perhatian.
”Kita perlu memastikan bahawa setiap kakitangan dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat, sihat, dan kondusif tanpa sebarang ancaman atau risiko yang boleh menjejaskan.
”Kita perlu memberi perhatian kepada kesihatan mental dan kesejahteraan emosi kakitangan kerana ini merupakan elemen penting dalam memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Oleh Rynna Sha’erra