
JAKARTA: Seorang warga Brazil dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Daerah Denpasar selepas didapati bersalah membawa masuk tiga kilogram kokain ke pulau Bali, Indonesia.
Keputusan terhadap Yuri Bezerra Da Costa, 25, dibacakan oleh Hakim Ni Made Okti Mandiani pada Khamis.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap tertuduh Yuri Bezerra Da Costa, ditolak tempoh tahanan yang telah dijalani,” katanya seperti dipetik oleh Agensi Berita ANTARA.
Tertuduh turut dikenakan denda Rp1 bilion (AS$57,000) atau 190 hari penjara sekiranya gagal membayar denda itu.
Hakim memutuskan bahawa Da Costa terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan kesalahan narkotik di bawah Perkara 610 Perenggan (2) huruf a Undang-Undang Republik Indonesia Nombor 1 Tahun 2026 mengenai Pelarasan Jenayah, seperti dinyatakan dalam pertuduhan alternatif pertama.
Semasa pemeriksaan oleh pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali pada 13 Julai 2025, Da Costa didapati membawa bungkusan plastik hitam yang selepas diperiksa disahkan mengandungi kokain dengan berat bersih masing-masing 1,564.92 gram dan 1,524.44 gram.
Dia dilaporkan membawa dadah itu dari Rio de Janeiro ke Dubai dengan penerbangan Emirates Airlines sebelum meneruskan perjalanan dengan syarikat penerbangan sama ke Denpasar. – Bernama