
MATARAM, Indonesia: Polis Indonesia telah menahan seorang wanita warga Australia yang didapati memiliki 59 mililiter cecair vape mengandungi ganja.
Wanita itu mendakwa bahan tersebut digunakan untuk melegakan kesakitan, namun dia berdepan hukuman penjara di negara itu.
Wanita berusia 53 tahun itu berisiko dipenjara sehingga 20 tahun di bawah undang-undang antidadah Indonesia yang tidak memberikan sebarang pengecualian, kata pegawai narkotik, I Nyoman Diana Mahardika, kepada AFP hari ini.
Dia ditahan bulan lalu di rumah sewaannya di pulau peranginan Lombok selepas polis mendapat maklumat bahawa dia telah menerima penghantaran cecair ganja.
Wanita itu berkata dia menggunakan vape ganja untuk melegakan sakit lutut dan kemurungan. Namun, menurut Mahardika, kes tersebut tetap akan disiasat sebagai satu jenayah.
“Dia mesti mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di negara kami. Bagi narkotik seperti ganja, ia tidak boleh dimiliki, digunakan atau diperdagangkan dalam bidang kuasa kami,” katanya.
Jika didapati bersalah, wanita itu berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara serta denda sebanyak dua bilion rupiah (kira-kira AS$111,000), tambah Mahardika.
Indonesia mempunyai antara undang-undang antidadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati bagi pengedar dadah. Namun begitu, negara itu telah mengekalkan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati selama beberapa tahun.
Terdapat puluhan pesalah pengedaran dadah yang kini menunggu hukuman mati di negara tersebut.
Indonesia kali terakhir melaksanakan hukuman mati pada tahun 2016, apabila seorang warga Indonesia dan tiga warga Nigeria yang disabitkan kesalahan dadah dihukum tembak.
Pada Mac lalu, dua lelaki warga Britain masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan dan 11 tahun selepas didapati bersalah menyeludup kokain ke pulau pelancongan popular, Bali. – AFP