

SEPASANG suami isteri warga asing ditangkap polis kerana memiliki dadah jenis methamphetamine. Foto: IPD
MUKAH: Sepasang suami isteri warga asing ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine dalam satu serbuan berhampiran simpang Ulu Bayan, Jalan Mukah-Selangau, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dilakukan sekitar 11.20 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat dan risikan.
“Polis telah menyerbu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner berwarna putih yang sedang diparkir di hadapan sebuah premis di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan, lelaki warga asing berumur 33 tahun dan penumpang hadapan yang juga wanita warga asing berumur 47 tahun, menemukan 22 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dadah itu ditemui di dalam sebuah beg berwarna hitam milik pemandu terbabit.
Tambahnya, pasangan itu disyaki aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di kawasan sekitar Jalan Mukah–Selangau, Mukah dan Ulu Balingian, Selangau.
“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah SUV terbabit, pelbagai barangan kemas serta wang tunai dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM121,000.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek bagaimanapun didapati negatif dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat pada 6 Ogos.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah Mukah dan Selangau diminta menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.