
MIRI: Lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Batu Niah dekat sini, baru-baru ini.
Tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri sekitar 7.40 malam di hadapan pasar raya.
Suspek kemudiannya dibawa ke bilik sewanya untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan menemui beg dipercayai milik suspek, mengandungi tiga plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 147.2 gram (g) dengan nilai RM14,720.
Turut disita ialah motosikal dan wang tunai sebanyak RM1,048.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee berkata, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis pusat untuk tindakan lanjut.
“Suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dikenakan hukuman mati, suspek juga boleh disebat tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
Mohd Farhan menegaskan bahawa polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Miri akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki rangkaian yang masih aktif.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah diminta menyalurkannya melalui talian JSJN di 012-2087222 atau talian JSJN Sarawak di 017-5929211.
Oleh Liong Chai Ling