

WARGA asing ditahan disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di Mukah.
MUKAH: Seorang lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Mukah-Selangau, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah sekitar 1.50 petang.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek berusia 25 tahun itu menemukan sebanyak 17 keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disimpan dalam poket seluar.
“Anggaran berat keseluruhan rampasan ialah 6.88 gram dengan nilai pasaran sekitar RM750,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tangkapan itu adalah hasil maklumat awal diperoleh selepas dua individu warga tempatan yang diperiksa di kawasan Pekan Selangau didapati positif dadah dan mendedahkan lokasi pengedaran dadah secara kecil-kecilan oleh suspek berkenaan.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh ladang kini direman selama empat hari hingga 4 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting