Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KEMALANGAN
  • Wanita warga emas maut, penunggang cedera parah dalam nahas dua kenderaan
  • KEMALANGAN

Wanita warga emas maut, penunggang cedera parah dalam nahas dua kenderaan

Utusan Sarawak 4 hours ago
 KEMALANGAN maut membabitkan sebuah kereta dan motosikal di KM 433 Lebuh Raya Pan Borneo, di Saratok, pagi tadi. Foto: IPD Saratok

SARATOK: Seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia manakala seorang lelaki warga emas cedera parah dalam satu kemalangan maut membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer (KM) 433 Lebuh Raya Pan Borneo, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku sekitar 7.00 pagi dan membabitkan sebuah Perodua Axia serta motosikal jenis Honda Dash 125.

Menurut beliau, pemandu Perodua Axia iaitu seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dari Pusa, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan tersebut, manakala kenderaannya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Perodua Axia sedang memandu di lorong kanan jalan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal Honda Dash yang berada di lorong kiri dipercayai telah menukar laluan secara mengejut ke lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah DSP Mathew, akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal berkenaan, menyebabkan penunggang dan pembonceng terjatuh serta mengalami kecederaan serius.

Penunggang motosikal tersebut merupakan seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun dari Roban, yang juga merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

Mangsa mengalami patah kaki kanan dan telah dihantar ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, pembonceng motosikal iaitu seorang wanita warga emas berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Saratok pada lebih kurang 9.23 pagi.

“Kematian mangsa telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Saratok, Dr Wan Muhammad Luqman Al Hakim Wan Azhar,” jelas DSP Mathew.

Beliau berkata, kes kini masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian kemalangan yang tidak diingini.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Nelayan maut terjatuh akibat gelombang kuat di perairan Kabong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.