
BETONG: Seorang wanita warga emas maut manakala lima lagi mangsa cedera ringan dalam satu kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman–Saratok, petang tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut 4.44 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi kejadian.
Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati kemalangan kendiri itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki enam mangsa terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan.

Kenderaan tersebut dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di laluan berkenaan.
Akibat kejadian itu, lima mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang wanita warga emas yang duduk di bahagian penumpang belakang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Pasukan bomba bertindak membuka pintu belakang kenderaan yang tersekat menggunakan peralatan khas penyelamat bagi memastikan mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Betong.
Turut berada di lokasi kejadian ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan APM bagi membantu pengurusan insiden tersebut.
Oleh Adi Safarman