
BALINGIAN: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ketiga dijalankan hari ini bagi mengesan wanita warga emas berusia 83 tahun yang dilaporkan hilang di Rumah Kunsun di Sungai Pelugau, Balingian sejak 29 Disember lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.
Mangsa dikenali sebagai Mai aUmpong. Susulan laporan yang diterima, operasi SAR dilaksanakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dan diketuai oleh Komander Operasi, PBT II Herudin Ealhi.

Operasi melibatkan seramai 10 anggota dengan jentera Hilux dan satu kenderaan persendirian. Pencarian dijalankan di beberapa lokasi sekitar rumah lama, saluran air serta laluan kebun dengan radius kira-kira dua kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB).
Walaupun operasi dijalankan sepanjang sesi pagi dan petang dengan kerjasama penduduk setempat dan pemimpin komuniti, tiada sebarang petunjuk atau kesan penemuan mangsa ditemui.

Operasi SAR ditamatkan pada 3.30 petang selepas perbincangan bersama pihak bomba, Pegawai Daerah Selanggau serta penghulu kawasan dengan persetujuan bersama.