


PADAWAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas, Aron Rajak, 57, yang dilaporkan hilang sejak semalam di Kampung Singaie/Simpok, diteruskan hari ini namun masih belum menemukan sebarang petunjuk.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan, mangsa dilaporkan hilang sekitar 12.30 tengah hari semalam selepas keluar ke kebunnya.
Katanya, mangsa kali terakhir dilihat memakai kemeja tanpa lengan (singlet) berwarna putih dan sarung kain, selain difahamkan mempunyai masalah mental.
“Pihak kami menerima panggilan pada 9.16 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan tiba di lokasi 15 minit kemudian. Pasukan kemudian melakukan penilaian awal sebelum operasi penuh dimulakan pada keesokan paginya.
“Pencarian hari kedua bermula sekitar 8.45 pagi dengan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela Simpok serta penduduk kampung digerakkan meliputi kawasan hutan dan ladang di sekitar kampung tersebut.
“Pencarian pada waktu pagi meliputi kawasan sehingga radius lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, termasuk kawasan yang ditentukan menggunakan maklumat keluarga dan penilaian Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, sehingga tengah hari, tiada sebarang jejak ditemui.
Tambahnya, pada 11.30 pagi, pasukan baharu mengambil alih operasi selepas maklumat daripada saksi mendorong penumpuan ke satu kawasan lain. Pencarian tambahan dilaksanakan namun masih gagal mengesan sebarang tanda keberadaan mangsa.
Operasi diteruskan pada sebelah petang bermula 2.30 petang meliputi kawasan lebih luas termasuk hutan tebal, kebun dan laluan berbukit. Semua pasukan kembali ke pos kawalan pada 5.00 petang tanpa penemuan baharu.
“Setakat ini tiada petunjuk jelas yang dapat membantu mengesahkan laluan atau lokasi terakhir mangsa. Operasi akan disambung semula esok,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat