

ENGKILILI: Misteri kehilangan seorang wanita warga emas di kawasan pedalaman Engkili akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui meninggal dunia kira-kira lapan kilometer dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang, pagi tadi.
Mangsa, Melaya Brayun, 75, ditemui oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan selepas Jambatan Stuga sekitar 11.13 pagi, sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang menjalankan operasi hari kedua.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa sebelum ini dilaporkan hilang dari rumah panjang Truai Rumah Alow, Kampung Bua, Engkilili pada awal pagi 21 Januari lalu selepas keluar dari kediamannya sekitar 1.00 pagi dan tidak pulang.
Operasi SAR hari kedua yang bermula seawal 7.30 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit K9 JPBM serta penduduk kampung, dengan tumpuan pencarian di sepanjang Sungai Batang Lupar melibatkan kawasan hulu dan hilir sungai.
Pasukan pencarian dibahagikan kepada dua kumpulan utama yang menggunakan kaedah pencarian permukaan air serta rondaan sungai menggunakan bot, meliputi radius pencarian sehingga tiga kilometer ke setiap arah dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
Selepas menerima maklumat daripada orang awam, pasukan penyelamat segera bergerak ke lokasi penemuan yang dianggarkan sekitar tujuh hingga lapan kilometer dari tempat mangsa kali terakhir dikesan.
Mangsa kemudiannya dibawa ke PKB dan disahkan identitinya oleh ahli keluarga.
Pada jam 11.50 pagi, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk siasatan dan pengurusan jenazah mengikut prosedur yang ditetapkan.
PGO JBPM Sarawak memaklumkan bahawa operasi SAR secara rasmi ditamatkan selepas penemuan mangsa, sambil memaklumkan cabaran utama sepanjang operasi ialah liputan rangkaian komunikasi yang lemah di kawasan berkenaan.
Kejadian ini sekali lagi mengingatkan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, agar sentiasa berwaspada terhadap pergerakan warga emas serta memastikan langkah keselamatan diambil bagi mengelakkan insiden kehilangan yang boleh membawa kepada tragedi.
Oleh Adi Safarman