


OPERASI pihak bomba menyelamat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di simpang pusingan U Kampung Munggu Limo, Serian.
SERIAN: Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun cedera selepas tersepit di bahagian penumpang hadapan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang pusingan U Kampung Munggu Limo, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.54 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian pada 1.59 petang, kemalangan melibatkan dua kenderaan jenis Toyota Avanza dan Perodua Alza.
“Seorang mangsa perempuan warga emas, 62, didapati masih tersepit di bahagian penumpang hadapan dengan kecederaan pada kaki kiri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Pasukan bomba kemudian bertindak menggunakan peralatan Holmatro Power Cutter untuk memotong pintu hadapan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Operasi penyelamatan diketuai PBK II Christhoper Tungoh melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.
Turut membantu dalam operasi ialah tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.28 petang setelah keadaan disahkan selamat.