
KUCHING: Wanita merupakan tunjang penting kepada pembangunan keluarga, ekonomi dan komuniti di rantau ini, sekali gus menjadi kekuatan utama dalam membentuk masa depan Sarawak dan Borneo secara keseluruhan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata sumbangan wanita merangkumi hampir separuh daripada penduduk negara dan melengkapkan setiap usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan menghimpunkan peserta dari seluruh Zon Borneo termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut Nancy, sambutan Hari Wanita Antarabangsa bukan sahaja bertujuan menghargai pencapaian wanita, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh usaha membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan itu pada masa hadapan.
“Wanita telah melangkah jauh, namun masih banyak ruang yang perlu kita perbaiki. Sebab itulah sambutan ini penting agar pemerkasaan wanita terus diperkasakan secara menyeluruh dan inklusif,” katanya.
Dalam ucapannya, Nancy turut merakamkan penghormatan kepada mendiang Profesor Dato’ Dr. Madeline Berma, tokoh akademik negara yang banyak memperjuangkan suara wanita dan masyarakat luar bandar.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan negara, namun legasi perjuangan serta sumbangan beliau wajar diteruskan sebagai inspirasi kepada generasi wanita masa kini.
Dari sudut ekonomi, Nancy berkata kementeriannya melalui Program Wanita Dinamik telah membantu seramai 21,274 wanita di seluruh negara sejak 2021, dengan hampir 8,000 wanita di Sarawak menerima manfaat, termasuk hampir 300 peserta yang hadir pada majlis berkenaan.
“Setiap peserta menerima geran RM500 untuk perusahaan kecil, dan khusus bagi Sarawak, hampir RM4 juta telah diperuntukkan bagi menyokong keusahawanan wanita,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata program PERANTIS turut dilaksanakan bagi memperkukuh kepimpinan wanita, melibatkan 100 wanita di seluruh negara, termasuk 11 dari Sarawak, yang menerima geran RM50,000 bagi melatih wanita lain dalam bidang kepimpinan, kreatif dan keusahawanan.
Dalam aspek kesihatan pula, Nancy memaklumkan bahawa melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), seramai 32,000 wanita disasarkan menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA tahun ini, dengan Kampung Santubong dipilih sebagai lokasi perintis di Sarawak.
“Sejak beberapa tahun lalu, lebih 53,000 wanita Sarawak telah menjalani saringan, membolehkan pengesanan awal dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau menegaskan, komitmen Kerajaan Persekutuan adalah untuk memastikan wanita Sarawak bukan sahaja dilindungi, malah terus diperkasakan dari segi pendapatan, kepimpinan dan kesihatan.
Nancy turut menekankan bahawa agenda pemerkasaan wanita memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta.
Tema sambutan tahun ini, ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’, jelas beliau, mengingatkan bahawa kekuatan negara bermula daripada kekuatan wanita yang yakin, berilmu dan berdaya saing.
Oleh Shikin Mahmud