
LAWAS: Wanita hari ini memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan Malaysia.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan wanita adalah tonggak kepada kesejahteraan keluarga, komuniti dan negeri.
Justeru itu adalah penting untuk pertubuhan seperti Pertubuhan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) bekerjasama dengan pertubuhan lain dan agensi kerajaan untuk memperkemaskan keupayaan wanita dalam semua aspek kehidupan dan kerja.
”Peranan wanita hari ini tidak lagi terbatas kepada keluarga, sebaliknya menjadi antara pemacu utama pembangunan negeri dan negara.
Saya mahu pertubuhan seperti ini menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan lain serta agensi kerajaan. Banyak perkara boleh dilaksanakan melalui kerjasama tersebut,” katanya pada majlis sambutan sempena ambang Hari Pertubuhan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) ke-64 dan Jalinan Mesra Aidilfitri PPWS Daerah Lawas di Stadium Tertutup Lawas, semalam.
Turut sama hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengerusi PPWS Sarawak Dato Nohyati Ismail, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pengerusi PPWS Lawas Suriah Jinin, Pengerusi Perkim Cawangan Lawas Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan kenamaan tempatan yang lain.
Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam berbagai lapangan tanpa meletakkan perbezaan gender sebagai satu halangan.
Selain itu Awang Tengah turut berharap agar PPWS dan pertubuhan lain turut bersama memainkan peranan mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini.

Jelasnya, perpaduan merupakan aset paling penting dalam memacu pembangunan disesebuah wilayah.
Malahan pembangunan yang dinikmati adalah hasil perpaduan rakyat Sarawak yang utuh tanpa terjejas dengan berbagai usaha pihak tertentu yang ingin memecah belahkan mereka kepada kelompok kecil yang sering berbalah.
“Kekuatan kita yang ada ialah disebabkan kita bersatupadu, setiap kaum bekerjasama antara satu sama lain.
Kita bersatu, kita menjadi kuat..di Malaysia ini Sarawak inilah yang stabil disebabkan itu kita dapat berusaha menumpukan segala tenaga dan usaha serta memanfaatkan sumber yang ada untuk meningkatkan pembangunan sekaligus memajukan masyarakat kita, ” tambahnya.
Oleh Adeng Edrus