BINTANGOR: Wanita perlu terus diperkasakan kerana mereka memainkan peranan penting sebagai tonggak pembangunan keluarga, masyarakat dan daerah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurutnya, sumbangan wanita dalam pelbagai bidang amat signifikan dan wajar terus diberikan pengiktirafan serta sokongan agar mereka dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam pembangunan komuniti.
“Saya berharap sambutan seumpama ini akan terus menjadi wadah untuk memperkasakan golongan wanita serta menggalakkan penyertaan mereka dalam pembangunan komuniti dan Daerah Meradong.
“Sambutan Hari Wanita bukan sahaja menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh muhibah, malah menjadi platform untuk menghargai jasa dan pengorbanan wanita yang sentiasa menyumbang kepada kesejahteraan keluarga serta kemajuan daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Sambutan Hari Wanita Daerah Meradong 2026 bersama isterinya, Datin Kueh Nai Fun, di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong, hari ini.

Beliau dan Datin Kueh turut menyertai sesi senamrobik bersama para peserta bagi memeriahkan sambutan, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
“Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat, malah menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan Sambutan Hari Wanita Daerah Meradong 2026,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Daerah Meradong, Sonia Hii, dan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Meradong, Kaunselor Dayang Rajemah Abang Adeng.
Oleh Earl Anek



