
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
KUCHING: Wanita adalah tonggak utama kepada kekuatan keluarga, kestabilan sosial serta kemajuan ekonomi Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, peranan wanita perlu terus diperkasa secara inklusif serta berstruktur agar tidak ada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negeri.
“Jika wanita kuat, keluarga akan menjadi kuat. Apabila keluarga kukuh, Sarawak akan terus maju dan makmur,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, sambutan tersebut bukan sekadar acara simbolik tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk mengiktiraf sumbangan besar wanita sebagai ibu, anak, pemimpin komuniti, usahawan, penjawat awam dan pekerja sektor swasta yang menjadi nadi pembangunan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri serta Jabatan Pembangunan Wanita dan semua pihak yang menjayakan sambutan berkenaan di peringkat Zon Borneo.

Abang Johari berkata, Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 menyediakan kerangka dasar yang penting dalam usaha memperkasa wanita secara holistik, merangkumi pemerkasaan ekonomi, pembangunan kepimpinan, perlindungan sosial serta kesejahteraan wanita.
Dalam aspek ekonomi, beliau menjelaskan penglibatan wanita dalam tenaga buruh di Sarawak terus menunjukkan peningkatan, termasuk dalam sektor ekonomi kreatif dan digital, sekali gus membuktikan potensi besar wanita Borneo untuk menembusi pasaran lebih luas melalui e-dagang dan teknologi.
“Pemerkasaan ekonomi wanita bukan sekadar soal angka, tetapi memastikan setiap wanita mempunyai pendapatan sendiri, keyakinan diri serta masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan penting wanita luar bandar dan wanita pribumi sebagai penggerak ekonomi keluarga serta penjaga warisan budaya, sambil menegaskan penggunaan teknologi secara bersesuaian mampu meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi moden tanpa menghakis identiti budaya.
Menyentuh mengenai ekonomi baharu Sarawak, beliau berkata penglibatan aktif wanita amat diperlukan dalam sektor seperti tenaga hijau, hidrogen, ekonomi digital, aeroangkasa dan teknologi tinggi, termasuk sebagai jurutera, saintis, pakar data, usahawan teknologi dan pemimpin.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Sarawak terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, termasuk inisiatif pendidikan tinggi percuma di institusi milik negeri, bagi memastikan anak-anak Sarawak tanpa mengira jantina mendapat akses pendidikan yang adil.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh aspek kesejahteraan sosial dan perlindungan wanita, dengan menegaskan wanita yang sejahtera dari segi fizikal, mental dan emosi akan membentuk institusi keluarga yang lebih kukuh serta masyarakat yang berdaya tahan.
Mengulas penglibatan wanita dalam kepimpinan, beliau berkata pembangunan kapasiti kepimpinan wanita perlu diteruskan secara sistematik agar lebih ramai wanita mampu menyumbang di peringkat pembuatan dasar dan strategik, termasuk dalam ekosistem digital negara.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 membawa tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, yang menurut Abang Johari menegaskan bahawa kekuatan negara bermula daripada kekuatan rakyatnya, dengan wanita sebagai teras utama.
Beliau juga menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan dan komitmen berterusan terhadap agenda pemerkasaan wanita demi kemajuan dan kestabilan negara.
Oleh Shikin Mahmud