
DARO: Seorang wanita berusia 57 tahun tersepit di tempat duduk hadapan sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang tiga menuju Jambatan Muara Lassa di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu 3.28 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sekitar enam kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah Perodua Axia.

“Seorang penumpang wanita yang berada di tempat duduk hadapan sebelah pemandu kereta Perodua Axia didapati tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan selepas pasukan bomba mencungkil sedikit bahagian pintu hadapan kenderaan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya.
Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Oleh Tarani Lanting