LUBOK ANTU: Seoraang wanita terperangkap dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya apabila terbabas dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Sedarat, Lubok Antu, pagi tadi.
Bagaimanapun, mangsa berusia 33 tahun itu hanya mengalami cedera ringan dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi.
Dia berjaya dikeluarkan dari dalam keretanya kira-kira 30 minit selepas kemalangan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang hadir di lokasi kejadian pada jam 7.28 pagi.
Ketua Balai BBP Betong, Vincent Baling Yabi berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.
“Bertindak dengan maklumat itu, seramai sembilan anggota dari BBP Betong yang diketuai oleh PBK II Edwin Jonani telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Pemandu wanita itu tidak dapat keluar dari kenderaan kerana pintu kenderaan tersekat akibat kemalangan dan anggota bomba bertindak membuka pintu sebelah pemandu untuk mengeluarkan mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.
Wanita itu telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.
Oleh ADI SAFARMAN