
MIRI: Seorang wanita terkejut apabila terlihat seekor buaya bersantai di permukaan air Sungai Adong di sini berhampiran kawasan kediamannya, semalam.
Kejadian itu disedari oleh penduduk, Vivian Liong, ketika beliau berjalan-jalan di belakang rumahnya seperti kebiasaan.
“Pada mulanya saya cuma berjalan-jalan di belakang rumah untuk melihat sekitar. Tak sangka pula terlihat seekor buaya terapung di sungai dengan mulut terbuka. Memang terkejut dan terus ambil gambar sebagai rekod,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Menurut Vivian, beliau sudah hampir 30 tahun menetap di rumah tersebut dan jarang sekali menyaksikan kemunculan buaya secara begitu jelas di kawasan berkenaan.

“Sudah lama saya tinggal di sini, tapi pemandangan macam ini memang sangat jarang berlaku. Memang rasa terkejut dan seram juga,” ujarnya lagi.
Kehadiran reptilia berkenaan menjadi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai atau menjalankan aktiviti di tebing sungai.
Oleh Liong Chai Ling