
SARIKEI: Seorang wanita terselamat tanpa mengalami kecederaan serius selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dalam kemalangan kendiri di Nyelong Bypass, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada 11.41 pagi tadi.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang wanita telah terbabas di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan tindakan operasi (PKO) BBP Sarikei tiba di lokasi kemalangan.
“Mangsa didapati tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius dan berada dalam keadaan stabil.
“Tindakan PKO di lokasi melibatkan kerja-kerja mengalihkan tiang serta wayar telekomunikasi yang patah akibat dilanggar oleh kenderaan mangsa,” katanya.
Oleh Earl Anek