Wanita Sarawak pemacu utama ekonomi digital negeri

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah, ketika menyampaikan ucapan yang menekankan peranan wanita sebagai pemacu utama ekonomi digital Sarawak pada sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.

KUCHING: Wanita Sarawak terus diiktiraf sebagai antara pemacu utama transformasi ekonomi digital negeri apabila kerajaan memperkukuh pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang teknologi, keusahawanan dan kepimpinan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, wanita kini bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan digital, malah memainkan peranan sebagai inovator, usahawan, pembuat keputusan dan pemimpin yang mencorakkan masa depan ekonomi digital Sarawak.

Menurut beliau, tema sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 ‘Wanita Sarawak dalam Ekonomi Digital’ mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.

“Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan antara 39,000 hingga 48,750 peluang pekerjaan separa mahir dan berkemahiran tinggi dalam sektor digital diwujudkan, selain ekonomi digital dijangka menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.

“Wanita perlu terus berada di barisan hadapan bagi merealisasikan sasaran tersebut,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta turut dihadiri anak beliau Dayang Norjihan.

Pada majlis sama, beliau memaklumkan pembangunan Papan Pemuka Keusahawanan Wanita (WED) sedang giat dilaksanakan sebagai platform digital bersepadu pertama di Sarawak yang memfokuskan pembangunan usahawan wanita.

Katanya, sistem itu akan mengintegrasikan profil usahawan wanita dalam satu pangkalan data berpusat yang diperkasakan dengan data masa nyata serta disepadukan dengan Sistem Pangkalan Data Usahawan (EBIS), sekali gus membolehkan kerajaan merangka dasar, latihan dan bantuan secara lebih tepat serta berasaskan data.

Sehubungan itu, beliau memohon peruntukan sebanyak RM370,000 daripada Kerajaan Sarawak bagi melengkapkan pembangunan platform berkenaan.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, Pusat Pengumpulan Sehenti di Samarahan yang siap dibina pada 2022 akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan, penggredan, pembungkusan, pemasaran dan promosi produk usahawan wanita, selain menyediakan inkubator perniagaan bagi meningkatkan kemahiran digital.

Menurutnya, pusat berkenaan turut berpotensi menjalinkan kerjasama dengan AirBorneo bagi memasarkan produk tempatan hasil keluaran usahawan wanita kepada penumpang syarikat penerbangan milik kerajaan negeri itu.

Beliau turut memohon agar peruntukan tahunan bagi program pembangunan usahawan wanita ditingkatkan daripada RM300,000 kepada RM1 juta bagi membolehkan lebih ramai usahawan, khususnya golongan B40 dan ketua isi rumah wanita, menerima manfaat.

Mengulas mengenai pembangunan kepimpinan wanita, beliau berkata kementeriannya telah menubuhkan Unit D2EI di Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, selain menaja tiga wanita Sarawak mengikuti pengajian Sarjana Kepimpinan di Asian Women Leadership University College (AWLUC), Pulau Pinang.

Beliau turut memohon agar tajaan berkenaan diteruskan sehingga lima kohort bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berwibawa.

Selain itu, beliau memaklumkan penubuhan Kursi Datuk Amar Juma’ani di Universiti Swinburne Sarawak sebagai platform memperkukuh penyelidikan, pembangunan dasar dan program berkaitan kepimpinan wanita di negeri ini.

Pada masa sama, Fatimah turut memohon agar geran tahunan Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak yang berjumlah RM54,400 sejak 1986 dikaji semula dan ditingkatkan supaya majlis berkenaan dapat melaksanakan peranannya dengan lebih berkesan.

Beliau berkata penyertaan aktif wanita dalam ekonomi digital bukan sahaja mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan Sarawak yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing.

Oleh Afiq Sallehi