Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Wanita rugi RM6,128 akibat ditipu peraduan gores dan menang di Facebook
  • JENAYAH

Wanita rugi RM6,128 akibat ditipu peraduan gores dan menang di Facebook

Utusan Sarawak 8 hours ago
GAMBAR hiasan.

BAU: Seorang wanita berusia 35 tahun kerugian RM6,128 selepas menjadi mangsa penipuan peraduan gores dan menang yang diiklankan menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa yang bekerja sebagai pakar sokongan sistem dan menetap di Kampung Sinaan, Jalan Bidi Krokong, membuat laporan polis hari ini selepas menyedari dirinya ditipu.

Menurut beliau, mangsa tertarik dengan siaran langsung di Facebook pada 14 Jun lalu yang mempromosikan peraduan gores dan menang “Super Lotto” sebelum menghubungi penganjur melalui Facebook Messenger menerusi pautan yang disediakan.

“Mangsa diarahkan membeli 20 keping kad gores dan selepas membuat pembayaran, kad tersebut digores secara langsung. Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa dia telah memenangi wang tunai berjumlah RM80,400,” katanya.

Bagi mendapatkan wang kemenangan itu, mangsa diminta memberikan maklumat perbankan serta membuat beberapa bayaran untuk pelbagai urusan sebelum hadiah berkenaan dapat dimasukkan ke dalam akaunnya.

Mohd Haide berkata, mangsa telah membuat empat transaksi pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM6,128 antara 14 hingga 16 Jun.

Bayaran tersebut melibatkan RM50 bagi pembelian kad gores, RM670 sebagai yuran kemenangan, RM1,908 untuk pengesahan bank dan RM3,500 sebagai caj perkhidmatan.

“Selepas membuat semua pembayaran, mangsa menerima resit transaksi yang menunjukkan RM82,308 telah dimasukkan ke dalam akaunnya. Namun, selepas semakan dibuat, tiada sebarang wang diterima,” katanya.

Siasatan mendapati wang yang digunakan untuk transaksi tersebut adalah daripada simpanan peribadinya sendiri.

Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu.

Semakan polis mendapati salah satu akaun bank yang terlibat mempunyai rekod berkaitan kes penipuan di daerah lain, manakala satu lagi akaun tidak mempunyai sebarang rekod.

Mohd Haide berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap tawaran peraduan dalam talian yang memerlukan bayaran pendahuluan serta memastikan kesahihan sesuatu promosi sebelum membuat sebarang transaksi.

Oleh Connie Chieng

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Cubaan elak sekatan jalan raya bawa padah, majikan dan PATI dicekup

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.