
KUCHING: Seorang wanita tempatan berusia 38 tahun mengalami kerugian sebanyak RM456,000 selepas menjadi mangsa penipuan panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan polis.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kes penipuan dalam talian itu.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 5 Disember 2025 ketika mangsa sedang bercuti di rumah keluarganya.
“Mangsa menerima panggilan daripada seorang suspek menggunakan nombor 016-4599918 yang menyamar sebagai pegawai NSRC sebelum panggilan tersebut disambungkan ke nombor 011-12487124 yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa telah diperdaya dengan dakwaan kononnya terdapat satu kes jenayah yang didaftarkan atas namanya.
“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan wang bagi tujuan ‘membersihkan’ wang miliknya, dengan janji bahawa wang tersebut akan dipulangkan semula,” katanya.
Akibat terpedaya, mangsa telah membuat sebanyak 13 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank yang berbeza.
Alexson berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan di portal rasmi PDRM menerusi sistem Semak Mule sebelum tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Oleh Connie Chieng