
KABONG: Golongan wanita khususnya ahli-ahli Persatuan Pembangunan Wanita Sarawak (PPWS) terus diiktiraf sebagai tunjang penting dalam memperkukuh institusi keluarga dan memacu pembangunan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan tidak dapat disangkal, malah menjadi pemangkin kepada kejayaan program pembangunan di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PPWS dalam menjayakan pelbagai aktiviti masyarakat wajar diberikan penghargaan dan sokongan berterusan.
“Golongan wanita memainkan peranan besar bukan sahaja dalam institusi keluarga, tetapi juga sebagai penggerak utama dalam pelaksanaan program kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Santai Raya bersama PPWS Zon Kabong yang diadakan di Pantai Tanjung Kembang Kabong, petang tadi.

Chee Kadir yang hadir bersama isterinya, Datin Meryani Yassin, turut menyifatkan majlis santai seumpama itu sebagai platform terbaik untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, program yang dekat di hati rakyat itu mampu memupuk semangat kekeluargaan selain memperkukuh perpaduan dalam komuniti setempat.
Dalam pada itu, Chee Kadir menegaskan komitmennya sebagai wakil rakyat untuk terus menyokong penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang.

Beliau turut menggesa masyarakat agar sentiasa menjaga keharmonian serta mengamalkan budaya kerjasama demi kesejahteraan bersama.
Pada majlis sama, Chee Kadir merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PPWS Zon Kabong atas usaha menganjurkan program yang disifatkan sederhana namun penuh bermakna. Beliau juga berterima kasih kepada Operator Pantai Tanjung Kembang, HK Enterprise, atas tajaan tapak yang membantu menjayakan Majlis Santai Raya tersebut.
Majlis berkenaan melibatkan penyertaan enam PPWS iaitu Kampung Sungai Endot, Kampung Hilir, Kampung Baru, Kampung Hulu, Kampung Muroh dan Kampung Alit yang berganding bahu menjayakan program itu.
Mengulas lanjut, Chee Kadir memuji komitmen tinggi PPWS Zon Kabong yang sentiasa tampil membantu dalam setiap penganjuran majlis keramaian di kawasan tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pihaknya akan terus menyalurkan peruntukan kepada PPWS Zon Kabong seperti tahun-tahun sebelum ini sebagai tanda sokongan terhadap peranan aktif mereka.
Turut hadir pada majlis tersebut, Nur Ain Abdullah mewakili PPWS Zon Kabong, Ulin Tabur selaku Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) serta Kamaluddin Alkap, wakil Pengurus HK Enterprise.
Oleh Adi Safarman