
KUALA LUMPUR: Pihak berwajib khususnya, serta masyarakat secara keseluruhan, digesa mengambil tindakan tegas dan segera dalam menangani jenayah pengantunan serta gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Mengecam kewujudan halaman media sosial yang mempromosikan unsur sedemikian, Wanita PKR menuntut agar Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan sewajarnya.
“Pihak berkuasa perlu memastikan kanak-kanak terus dilindungi di bawah undang-undang negara,” menurut Wanita PKR menerusi hantaran di Facebook.
Wanita PKR turut menyeru ibu bapa dan seluruh masyarakat agar terus cakna dan bertanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada elemen keganasan seksusal, termasuk dengan memantau kewujudan halaman media sosial sedemikian dan komen jelik di media sosial yang menyentuh maruah kanak-kanak.
“Seluruh masyarakat diseru untuk segera bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa dan mengambil tanggungjawab melindungi kanak-kanak,” katanya.
Wanita PKR turut memberi komitmen untuk memainkan peranan proaktif, termasuk melaksanakan siri advokasi dan program literasi perlindungan kanak-kanak dalam komuniti, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam melindungi kanak-kanak dan seluruh komuniti daripada gangguan seksual.– Bernama