
KUCHING: Tiga fokus utama diberi perhatian oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam usaha memperkasakan wanita masa kini iaitu meluaskan akses kepada pendidikan dan latihan sepanjang hayat, penglibatan dalam keusahawanan serta perlindungan hak dan kebajikan wanita terutamanya kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menterinya merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kementerian komited memastikan wanita tidak lagi bergantung kepada ahli keluarga lelaki seperti suami, bapa atau adik-beradik untuk membantu kehidupan seharian mereka.
“Tumpuan kita adalah untuk memastikan wanita tidak bergantung kepada orang di rumahnya, suami, bapa atau adik-beradik untuk membantu. Di sini, kita memperkasakan mereka dengan kemahiran mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Pemerkasaan Wanita 2025 Peringkat Daerah Kuching di Yayasan Sarawak, pagi tadi.

Menurut Nancy, pemerkasaan wanita bukan hanya dari segi ekonomi semata-mata, sebaliknya melibatkan kekuatan dalaman serta keyakinan diri untuk berdepan pelbagai cabaran termasuk dalam dunia keusahawanan dan teknologi AI.
Melalui program keusahawanan anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA), wanita diberi peluang untuk menimba pengetahuan berkaitan pentadbiran, perniagaan dan teknologi AI, sekali gus membantu menjana pendapatan sendiri secara mampan.
Lebih 400 peserta menghadiri program berkenaan yang terdiri daripada usahawan MARA Kuching, penerima pembiayaan dan sumbangan MARA serta golongan asnaf.
Oleh Amanda L