
PETRA JAYA: Wanita tidak boleh ketinggalan dalam arus kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat hari ini.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, AI kini menjadi sebahagian daripada pembangunan teknologi global yang tidak dapat dielakkan.
“Golongan wanita perlu didedahkan kepada kemahiran baharu supaya mampu bersaing dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat.
“Kita tidak boleh menghalang atau menolak kemajuan AI ini. Sebaliknya, kita mesti berada di sana, belajar dan menggunakannya dengan cara yang betul untuk membawa penambahbaikan dalam kehidupan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Gempak Inspirasi@Sepagi bersama Persatuan Pengusaha Wanita Sarawak (PPWS) di Wisma Sabati, hari ini.

Tambah beliau, pengalaman beliau semasa lawatan kerja ke Korea Selatan baru-baru ini memberi gambaran jelas bagaimana negara tersebut mengintegrasikan AI dengan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memperkukuh pembangunan masyarakat.
“Pendekatan seumpama itu wajar diteladani Malaysia agar wanita khususnya dapat memperluas pengetahuan digital, meningkatkan produktiviti serta menjana peluang ekonomi baharu.
“Ibu bapa juga diingatkan untuk lebih peka terhadap penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak memandangkan teknologi boleh disalahgunakan jika tiada kawalan.
“Pemantauan awal penting supaya kanak-kanak tidak terdedah kepada risiko penggunaan tidak sihat, malah AI seharusnya menjadi alat pembelajaran yang mendidik bukan sebaliknya,” ujarnya.
Tambah beliau, pendedahan dan kefahaman mengenai AI akan membantu generasi muda termasuk wanita menjadi lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
Beliau turut menyempurnakan pelancaran Program Gempak Inspirasi@Sepagi anjuran Bersama PPWS dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Program itu bermatlamat memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung fungsi setiap agensi di bawah KPWKM agar perkhidmatan agensi disebarluas kepada golongan sasar.
Oleh Masrin Affirah