Wanita perlu diberi peranan lebih besar pacu agenda kelestarian

Facebook
WhatsApp
AMANAT…Datuk Len Talif Salleh ketika berucap pada Simposium Wanita dan Alam Sekitar 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Wanita perlu diberi peranan lebih besar dalam proses membuat keputusan bagi memastikan agenda kelestarian, pemuliharaan alam sekitar dan transformasi hijau Sarawak dapat dilaksanakan secara inklusif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, wanita kini memainkan peranan penting sebagai saintis, jurutera, pembuat dasar, penyelidik, pemimpin korporat, pendidik, usahawan dan aktivis pemuliharaan.

Menurut beliau, penyertaan wanita perlu diperkukuh bukan sahaja dalam pelaksanaan, malah pada peringkat membuat keputusan termasuk dalam kerajaan, lembaga pengarah, institusi penyelidikan, sektor perniagaan dan pelaburan.

“Apabila wanita diperkasa untuk memimpin, manfaatnya bukan hanya kepada wanita, tetapi turut meliputi keluarga, komuniti, organisasi dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

TINJAU…Datuk Len Talif Salleh meninjau ruang pameran sempena Simposium Wanita dan Alam Sekitar 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang mewakilinya pada Simposium Wanita dan Alam Sekitar 2026 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, perubahan iklim kini memberi kesan langsung terhadap kehidupan, perancangan bandar, pengurusan sumber semula jadi serta pengeluaran makanan dan tenaga.

Katanya, cabaran Sarawak bukan memilih antara pembangunan dengan pemuliharaan alam sekitar, sebaliknya mencari pendekatan yang membolehkan kedua-duanya bergerak seiring.

Sarawak, katanya, perlu terus mewujudkan pekerjaan, membangunkan industri dan infrastruktur serta meningkatkan pendapatan rakyat tanpa mengabaikan perlindungan terhadap hutan, biodiversiti, sungai, kawasan pesisir dan ekosistem marin.

PENYERTAAN…Antara peserta yang hadir pada Simposium Wanita dan Alam Sekitar 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

Beliau berkata, kelestarian juga berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu menerusi pembangunan tenaga bersih, sumber boleh diperbaharui dan industri rendah karbon, termasuk penerokaan Sarawak dalam tenaga hidrogen serta industri hijau.

Dalam pada itu, teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI), penderiaan jauh, analitik data dan sistem pintar mampu membantu pemantauan hutan, perubahan ekosistem, pelepasan karbon serta penggunaan sumber dengan lebih cekap.

Namun, beliau menegaskan teknologi hanyalah alat dan perkara paling penting adalah memastikan penggunaannya memberi manfaat kepada manusia serta membantu melindungi alam sekitar.

Beliau berharap simposium anjuran Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Green Generation Sdn Bhd itu dapat melahirkan kerjasama serta idea baharu, selain menggalakkan lebih ramai wanita dan golongan muda memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan alam sekitar Sarawak.

Oleh Norman B