
KUCHING: Wanita perlu mempunyai pendapatan sendiri bagi memastikan mereka tidak dipandang rendah serta mampu berdiri dengan keyakinan dalam keluarga dan masyarakat.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, keupayaan wanita menjana pendapatan sendiri membolehkan mereka menjadi individu yang lebih yakin, berdikari dan dihormati.

“Apabila wanita mempunyai duit sendiri, mereka tidak mudah dibuli dan lebih yakin sebagai isteri, ibu dan rakan dalam keluarga. Wanita bukan sekadar berada di rumah, menjaga anak dan keluarga, tetapi peranan itu adalah asas kepada kejayaan sesebuah keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kepimpinan Wanita Artisan (WALP) 2026 di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), di sini, hari ini.
Beliau mengulas lanjut, pengalaman turun padang termasuk semasa pandemik COVID-19 membuktikan wanita luar bandar mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan melalui kraftangan dan produk tempatan.


“Saya melihat sendiri bagaimana wanita luar bandar menghasilkan produk seperti batik dan kraf tangan sehingga mampu membantu ekonomi keluarga.
“Wanita kita sebenarnya sangat berbakat, cuma mereka perlu diberi peluang, bimbingan dan keyakinan. Apabila wanita berdikari, keluarga menjadi lebih kukuh dan anak-anak akan lebih menghormati peranan ibu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nancy menggesa wanita Sarawak agar berani merebut peluang yang disediakan kerajaan dan pelbagai agensi tanpa rasa ragu.

“Gunakan setiap latihan, jaringan dan sokongan yang diberikan untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga. Kerajaan akan terus membuka ruang dan menyediakan sokongan kepada wanita.
“Kejayaan sebenar bergantung kepada keberanian wanita sendiri untuk melangkah ke hadapan,” ujarnya.
Program WALP 2026 merupakan inisiatif memperkasa wanita artisan melalui latihan kepimpinan, kemahiran keusahawanan dan akses pasaran bagi melahirkan usahawan wanita yang berdaya saing, khususnya dalam kalangan wanita luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Oleh Masrin Affirah