KABONG: Jentera Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong diarah bersiap sedia untuk menunjukkan keupayaan terbaik bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong meraih majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).
Ketua PBB N.40 Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, Wanita serta Pemuda mempunyai peranan besar untuk menghadapi PRN12 yang disifatkan paling mencabar supaya DUN Kabong kekal bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kita mahu jentera Wanita dan Pemuda PBB N.40 Kabong menunjukkan taring untuk memastikan majoriti kemenangan GPS dalam PRN12 akan ditingkatkan berbanding pada PRN11 pada 2016 lalu.
“Walaupun bakal berdepan dengan kesukaran dan cabaran tetapi hasil kerjasama dan pengalaman kita dalam pilihan raya sebelum ini kemenangan akan berpihak kepada GPS… Insyaallah,” katanya berucap pada Majlis Randau dan simbolik penyerahan bendera GPS kepada Ketua Ranting Pergerakan Wanita PBB Kabong di sini semalam.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Penolong Ketua Penerangan Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Fridah Osman, Pemangku Ketua Wanita PBB Kabong, Normah Ahmad dan isteri Chee Kadir, Meryani Yasin.
Chee Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong berkata Wanita dan Pemuda PBB Cawangan Kabong perlu meningkatkan momentum sedia ada dan dalam ‘mood’ bersedia untuk menunggu arahan bagi berdepan PRN12.
“Kita seharusnya sudah bersedia untuk bertempur dan bukannya pada peringkat meninjau dan memerhati. Ini penting bagi memastikan segala persiapan dan perancangan rapi yang dijalankan sebelum ini dapat dilaksanakan dengan teratur,” tegas beliau.
Tambah beliau lagi, kepimpinan GPS yang sedia ada perlu dikekalkan memandangkan banyak kebaikan yang dinikmati segenap lapisan rakyat hari ini.
“Kita tidak akan mengetahui kesan negatif yang akan rakyat hadapi jika berlaku perubahan kepimpinan yang sedia ada.
“Inilah yang harus kita kekalkan, oleh itu jentera Wanita dan Pemuda amat diperlukan untuk memastikan kerajaan GPS terus memenangi PRN12 yang akan diadakan bila-bila masa,” ujarnya.
Terdahulu, Chee Kadir mahu hubungan silaturahim dalam kalangan jawatankuasa Wanita dan Pemuda diperkukuhkan melalui kerjasama dan semangat muhibah agar mereka terus mencipta kejayaan dan memastikan kerja keras yang dilakukan selama ini berbaloi.
Oleh Adi Safarman