
PETRA JAYA: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung penentuan bilangan kerusi calon wanita bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, walaupun sokongan wanita terhadap PBB terus menunjukkan trend peningkatan yang positif, Pergerakan Wanita PBB kekal berpendirian untuk menghormati keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan Premier.
Menurut beliau, Premier Sarawak memahami aspirasi serta kepekaan golongan wanita dan sentiasa mengambil kira kepentingan semua pihak dalam menentukan hala tuju parti.
“Perkara ini akhirnya bergantung kepada kebijaksanaan Premier Sarawak. Beliau arif tentang perasaan, naluri dan harapan wanita dan kami percaya keputusan yang dibuat adalah demi kebaikan parti serta negeri,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, hari ini.
Fatimah berkata demikian ketika diminta mengulas pertanyaan media mengenai kemungkinan tuntutan tambahan kerusi calon wanita, sekiranya cadangan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak direalisasikan.
Beliau berkata, peningkatan keahlian wanita dalam PBB merupakan petunjuk jelas kekuatan sokongan golongan tersebut, namun Pergerakan Wanita PBB memilih pendekatan yang berhemah, rasional dan berdisiplin dalam mengemukakan pandangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah turut menyifatkan perbandingan yang dibuat oleh pihak tertentu terhadap pendekatan Sarawak dan Sabah dalam menguruskan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tidak membina.
Katanya, sebarang naratif negatif yang dilemparkan terhadap kepimpinan Sarawak hanya akan mengukuhkan lagi semangat kebersamaan dan perpaduan rakyat negeri ini.
“Kami bergerak sebagai satu pasukan dan tidak membiarkan kepimpinan negeri berjuang bersendirian. Fokus kami adalah mempertahankan kepentingan Sarawak dan rakyatnya,” katanya.
Beliau menegaskan, rekod pencapaian kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini membuktikan keupayaan serta kebijaksanaan kepimpinan Sarawak dalam mempertahankan hak negeri.
“Apa-apa naratif negatif akan membuatkan kami lebih bersatu padu dan rakyat Sarawak menjadi lebih bersatu,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud