
KABONG: Komitmen Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong dalam menganjurkan program sukan yang berimpak positif mendapat pujian apabila berjaya melaksanakan Pertandingan Bola Sepak Pantai Wanita (Pakaian Beragam) dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam kalangan wanita, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim serta memupuk gaya hidup sihat dalam komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan pertandingan berkenaan yang berlangsung di Pantai Tanjung Kembang, yang menyaksikan kehadiran orang ramai memberi sokongan padu kepada pasukan bertanding.
Menurut beliau, usaha berterusan Pergerakan Wanita PBB Kabong membuktikan golongan wanita mampu memainkan peranan aktif dalam memperkasa masyarakat melalui aktiviti sihat dan bermanfaat.
Pertandingan anjuran Pergerakan Wanita PBB N.40 Kabong dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong itu menyaksikan saingan sengit membabitkan lapan pasukan yang mempamerkan semangat juang tinggi serta kreativiti melalui konsep pakaian beragam.
Keputusan rasmi pertandingan menyaksikan pasukan Harimau Berantai muncul johan, diikuti MAS Wings sebagai naib johan, manakala FC Apparel dan Egoi-Egoi Gitu masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Selain itu, beberapa anugerah khas turut disampaikan bagi menghargai keunikan dan semangat peserta, termasuk Anugerah Terpaling Warga Emas yang diberikan kepada Dayang Mastiah Abang Narudin dari Pasukan Suko Ati yang berusia 70 tahun.
Anugerah Pakaian Paling Menonjol pula dimenangi oleh pasukan Geng Kaco Kotilah Koti yang berjaya mencuri perhatian juri serta penonton dengan kreativiti mereka.
Chee Kadir turut berharap agar pertandingan seumpama ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan diperluaskan lagi penyertaan agar lebih ramai wanita dapat terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan dan riadah.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam suasana penuh ceria dan semangat kekeluargaan, sekali gus memperlihatkan kejayaan penganjuran yang memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan komuniti Kabong.
Oleh Adi Safarman