

LAWAS: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari menganjurkan aktiviti sukan dan sosial bersama 10 ranting Wanita PBB dari Zon Bandar, Zon Punang dan Zon Jalan Punang di Arena Lawas, semalam.
Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Sari, Aujinajian Garip berkata program tersebut bertujuan memperkukuh kesepakatan dalam kalangan ahli Pergerakan Wanita PBB Bukit Sari serta ranting yang terlibat.
Menurutnya, program berkenaan turut menjadi platform memupuk semangat berpasukan dan kerjasama menerusi aktiviti santai dan mencuit hati.
“Kita mahu memupuk semangat berpasukan dan kerjasama melalui permainan yang diadakan. Pada masa sama, program ini memberi ruang kepada peserta merehatkan minda daripada tugasan harian.
“Kita juga ingin menerapkan semangat persaingan sihat serta sikap terbuka dalam menerima kemenangan dan kekalahan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Seramai 147 peserta menyertai program tersebut membabitkan Wanita PBB Ranting Batu Dua, Bandar, Banting, Punang Lama, Punang Jaya, Punang Baru, Kampung Belipat/Belangsat, Kampung Sualai, Kampung Belimbing dan Kampung Masjid Menengah.
Antara acara yang diadakan ialah senam tari, pertandingan gubahan bunga kawat bulu, permainan Pilihlah Aku serta memijak belon.
Oleh Adeng Edrus